YGMB Berhad
26 Jun 2026

KUALA LUMPUR – Inisiatif BSN TeachersCard hasil kerjasama strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan warga pendidik di seluruh negara sentiasa terbela menerusi pelbagai manfaat kewangan dan ganjaran eksklusif.

Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, kad yang diperkenalkan khusus untuk guru dan warga pendidikan sejak tahun 2013 itu merupakan simbol penghargaan terhadap sumbangan besar golongan pendidik dalam membentuk modal insan negara.

Menurut beliau, susulan pelancaran awal sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2013, YGMB mengambil langkah proaktif memperbaharui kerjasama bersama BSN bagi menawarkan manfaat yang lebih menarik kepada warga pendidik.

"Kerjasama antara BSN dan YGMB turut bertujuan memperkasakan aspek kebajikan guru melalui pelbagai insentif kewangan, di samping membantu mengukuhkan dana kebajikan warga pendidik," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama tersebut juga mencerminkan komitmen BSN dalam menyediakan perkhidmatan kewangan yang inklusif, selain mengiktiraf peranan penting para pendidik dalam membentuk masa depan negara.

Antara kelebihan utama BSN TeachersCard ialah ganjaran BSN Happy Rewards, kemudahan pelan ansuran mudah serta perlindungan kemalangan perjalanan kepada pemegang kad yang layak.

Menariknya, setiap transaksi runcit menggunakan kad berkenaan turut menyumbang secara langsung kepada dana YGMB, sekali gus membantu yayasan melaksanakan pelbagai program kebajikan dan bantuan untuk guru di seluruh Malaysia.

Inisiatif eksklusif ini terbuka kepada guru dan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pensyarah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang diluluskan serta guru Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat memaklumkan bahawa ramai warga pendidik telah menikmati manfaat BSN TeachersCard dalam urusan harian mereka, khususnya dari aspek penjimatan.

Menurut beliau, BSN TeachersCard menawarkan keistimewaan berbeza berbanding kad kredit lain di pasaran dengan kadar keuntungan tahunan serendah 8.88 peratus, berbanding sehingga 18 peratus setahun bagi kebanyakan kad kredit lain.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan warga pendidik agar tidak menyalahgunakan kemudahan tersebut dan menegaskan bahawa BSN TeachersCard bukan bertujuan menggalakkan amalan berhutang, sebaliknya sebagai salah satu kaedah pengurusan kewangan yang lebih baik dan berbaloi untuk jangka masa panjang.