KLUANG, 22 September 2024 – Seorang guru dari SMK Sultan Alauddin, Felda Bukit Besar di Kulai terpaksa bersara lebih awal apabila disahkan menghidap kanser pundi kencing sejak dua tahun lalu.
Zuraini Kassim yang berusia 54 tahun tetap tabah dan yakin dengan ketentuan Ilahi meskipun doktor memaklumkan beliau hanya mempunyai peluang untuk hidup selama lima tahun sahaja. Namun, beliau tetap yakin bahawa setiap penyakit ada penawarnya seperti yang ditetapkan oleh Allah.
Kini, Zuraini sedang menjalani rawatan imunoterapi dalam usaha membantu sistem imun badan melawan sel barahnya.
“Rawatan tersebut merupakan antara kaedah terbaik yang disarankan oleh doktor kepada saya ketika ini, bagaimanapun ubat-ubatan tersebut memerlukan kos yang sangat tinggi di mana saya perlu membeli sendiri.”
Zuraini berkata, manfaat yang diterima daripada YGMB sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban beliau dalam pembelian ubat-ubatan tersebut.
Sehubungan itu, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) telah menyerahkan manfaat Penyakit Kritikal kepada Zuraini berjumlah RM25,216.32 yang telah disampaikan oleh Dato’ Haji Abdul Muie Ngah, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat dalam sebuah Program Ceramah Anti-Scam Terhadap Warga Pendidik Negeri Johor anjuran bersama Kementerian Pendidikan dan Polis Diraja Malaysia dengan kerjasama YGMB yang diadakan di SJKC Chong Hwa 2.
Add New Comment