YGMB Berhad
June 5, 2024

KUALA TERENGGANU – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyampaikan tiga manfaat kepada waris dan ahli YGMB dalam satu majlis penyerahan manfaat yang diadakan di SMK Ibrahim Fikri, Kuala Nerus baru-baru ini.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah (Perancangan Strategik) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, DCP Datuk Kumaran Karuppannan dalam satu majlis Ceramah Anti-Scam anjuran Kementerian Pendidikan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan YGMB di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Tuan Haji Awi Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.

Penyerahan manfaat Khairat Kematian telah disampaikan kepada waris Ahli Skim 18 (AS18) iaitu Allahyarham Ramli Ahmad, 52, yang menghidap kanser limfoma sejak tujuh tahun yang lalu.

Isterinya, Karimah Idayu Abdul Karim memaklumkan bahawa suaminya yang disahkan sebagai pesakit paliatif (peringkat akhir penyakit kanser) pada Oktober tahun lalu menghembuskan nafas terakhir di samping ahli keluarga dan sanak-saudara di kediamannya di Besut pada Januari lalu.

Menurut Karimah, Allahyarham suaminya yang juga seorang Guru Kaunseling di SMK Seri Nering sebelum ini pernah membuat permohonan insuransnya namun ditolak kerana mempunyai sejarah penyakit kritikal.

“Saya hanya mengetahui arwah ada perlindungan manfaat di bawah YGMB pun selepas saya mengemas barang-barang arwah di dalam keretanya dan menjumpai kad keahlian YGMB. Selepas itu, saya terus menghubungi YGMB untuk bertanya tentang keahlian arwah,”

“Saya tak sangka kerana mengikut kepada sejarah penyakit yang dihidapinya sejak tujuh tahun lalu itu, beliau tidak layak untuk membeli sebarang perlindungan insurans. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada YGMB atas bantuan yang diberikan sepanjang proses permohonan manfaat dilakukan,” katanya.

Karimah yang ditemui dalam majlis tersebut menerima wang manfaat Khairat Kematian AS18 suaminya sebanyak RM27,035.70.

Dalam pada itu, dua lagi manfaat yang disampaikan adalah kepada ahli AS18 dan Ahli Skim Emas (ASE) bagi manfaat Penyakit Kritikal. Penerima manfaat itu ialah Wan Nur Herlienie Wan Muhd Aminuddin, 43, yang merupakan AS18 bertugas sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman menerima RM25,049.19 manakala Wan Nooriman Wan Jaafar, 58, merupakan GPK di SMK Sultan Omar, Dungun dan ahli ASE pula menerima RM50,089.08.

Kedua-dua mereka adalah penghidap kanser payudara dan sedang menjalani rawatan kemoterapi serta radioterapi. Ketika ditemui, mereka mengucapkan rasa syukur kepada Allah kerana masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan dengan baik meskipun diuji dengan penyakit sebegini.

Dalam pada itu, mereka turut menzahirkan penghargaan kepada YGMB dan berharap agar para guru serta kakitangan yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan mengambil peluang untuk menjadi ahli YGMB sebagai persediaan tambahan sekiranya berlaku sebarang musibah kerana manfaat yang tersedia adalah pelbagai dan menyeluruh.