KUALA LUMPUR, 29 Februari 2024 – Seorang guru maut selepas kereta dipandu suaminya terbabas ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman suami di Butterworth, Pulau Pinang pada tahun lalu.
Nor Zafirah Abdullah, 33, yang bertugas di SK Sri Skudai, Johor disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Kemalangan itu menyebabkan Allahyarhamah Nor Zafirah tersepit di tempat duduk dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala suami dan anak lelaki berusia dua tahun ketika itu cedera ringan.
Menurut suaminya, Mohd Syamsul Fitri Saad, rakan-rakan guru arwah memaklumkan bahawa arwah menunjukkan kelakuan yang pelik sebelum bercuti untuk pulang ke kampung.
“Arwah sempat mengemas meja kerjanya dengan sangat rapi dan bersih dan kebiasaannya arwah tidak akan mengosongkan mejanya, tetapi ketika itu arwah berulang kali masuk ke bilik guru untuk mengemas barangan di atas mejanya.”
Mohd Syamsul turut berkata, Khairat Kematian isterinya yang juga merupakan Ahli Skim 16 YGMB itu dianggap sebagai hadiah terakhir daripada arwah buat anak mereka yang baru berusia tiga tahun.
“Saya menganggap itu adalah hadiah terakhir daripada arwah buat Mohd Saif Zafri yang telah kehilangan kasih sayang ibunya dan saya berjanji akan membesarkannya serta mendidiknya menjadi anak yang soleh.”
Beliau ditemui pada satu majlis penyerahan manfaat Khairat Kematian Kemalangan Jalan Raya arwah isterinya sebanyak RM28,000 yang disampaikan oleh Tuan Haji Roslan Abu Hassan, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di JPWPKL.
Add New Comment