YGMB Berhad
February 29, 2024

KUALA LUMPUR, 29 Februari 2024 – Meskipun mengamalkan gaya hidup dan pemakanan yang sihat, seorang pensyarah di IPG Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor tidak menyangka bahawa beliau disahkan menghidap kanser paru-paru tahap empat.

M. Asrar Sidon, 56, yang merupakan Ahli Skim Emas menerima Manfaat Penyakit Kritikal sebanyak RM50,027.84.

Beliau sebelum ini merupakan seorang yang aktif sebelum mengalami gejala cepat penat dan sesak nafas.

“Saya disahkan menghidap kanser tahap empat sejak hujung tahun lalu selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah dan ketika itu saya dimasukkan ke hospital selama 19 hari kerana paru-paru saya dipenuhi air.”

Beliau kini masih dalam proses rawatan yang memerlukannya mengambil ubat kemoterapi setiap hari sejak empat bulan yang lalu.

Katanya, manfaat yang diterima sangat membantu beliau untuk terus berikhtiar mendapatkan rawatan alternatif.

“Saya mahu sihat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sebab itu saya sangat berhutang budi dengan YGMB.”

“Rawatan lain memerlukan kos yang sangat tinggi dan dengan wang manfaat yang saya terima ini, saya akan gunakan untuk terus berusaha menjadi sihat seperti sediakala.”

Beliau berkata, apa yang dihadapi ketika ini mengajar dirinya untuk terus bersabar dan reda.

“Masa saya isi borang keahlian dua tahun lalu, saya tidak terfikir apa-apa. Saya rasa kita kena sentiasa beringat untuk sediakan payung sebelum hujan dan caruman di YGMB adalah yang paling rendah sekali yang saya pernah ambil. Saya ingin menyeru rakan guru untuk mengambil peluang keemasan ini sebagai persediaan untuk sebarang perkara yang tidak dijangka.”

M. Asrar ditemui pada satu majlis penyerahan manfaat Penyakit Kritikal yang disampaikan oleh Tuan Haji Roslan Abu Hassan, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) di JPWPKL.