YGMB Berhad
March 5, 2024

BESUT, 5 Mac 2024 – Seorang guru yang mengajar di SK Kuala Besut 1 meninggal dunia dan ditemui terbaring di atas katil bilik tidurnya dipercayai akibat sesak nafas.

Allahyarham Abd Aziz Abdul Hamid, 60, pada hari kejadian dimaklumkan oleh isterinya, Yon Faridah Mustafa, 57, berkeras untuk tinggal di rumah sementara beliau ingin ke rumah adiknya yang tidak jauh daripada rumah mereka.

“Saya mengajak arwah untuk pergi ke rumah adik memandangkan ketika itu kawasan perumahan kami tiada air namun arwah tetap berkeras untuk tinggal di rumah dengan alasan ingin membaiki keretanya,”

Tambahnya, naluri seorang isteri membuatkan beliau bimbang suaminya diserang penyakit asma namun cuba untuk berfikiran positif memandangkan suaminya ketika itu kelihatan sihat dan aktif seperti biasa.

“Saya semakin pelik kerana arwah tidak memberi sebarang balasan terhadap mesej dan tidak menjawab panggilan saya. Bimbang terjadi apa-apa kepadanya, saya meminta pertolongan jiran untuk menjenguknya di rumah.”

Katanya, beliau dimaklumkan oleh jiran bahawa arwah sudah terbaring dalam keadaan tangan terkulai ketika ditemui di dalam bilik tidurnya.

Kehilangan ini, kata Yon Faridah, bagaikan mimpi buruk yang menjadi kenyataan dalam hidupnya namun beliau ikhlas dan reda atas pemergian suaminya.

Beliau yang ditemui pada sesi penyerahan manfaat Khairat Kematian suaminya yang merupakan Ahli Skim Emas sebanyak RM52,012.17 turut menerima manfaat Khairat Kematian Pasangan sebanyak RM2,000.

Dalam pada itu, Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) turut menyampaikan manfaat Khairat Kematian Ahli Skim 18, Allahyarhamah Sharifah Sumaiyah S. Mohamad Kamaruzaman, 53, yang meninggal dunia akibat kanser payudara. Arwah dikatakan tidak sempat menjalani sebarang rawatan kerana sel kansernya merebak terlalu cepat sehingga mengganggu fungsi hati serta paru-paru.

Kedua-dua penyampaian disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah Zawawi Yahya, Pegawai Pendidikan Daerah Besut pada satu majlis yang diadakan di SK Besut.