YGMB Berhad
April 30, 2024

KOTA BHARU, 30 April 2024 – Seorang guru Pendidikan Khas yang mengajar di SMK Ismail Petra terlibat dalam kemalangan jalan raya di hadapan masjid berdekatan rumahnya meninggal dunia apabila mengalami pendarahan yang teruk pada September tahun lalu.

Mewakili ibunya, anak tunggal kepada Allahyarham Mohd Roslan Mohd Nor, 59, iaitu Nur Qurrataaini memaklumkan pemergian arwah bapanya bukan sahaja memberi kesan kepada ahli keluarga malah anak-anak Pendidikan Khas turut meluahkan rasa kehilangan yang sangat mendalam.

“Arwah sangat rapat dengan anak-anak didiknya dan memang sentiasa hadir awal ke sekolah memandangkan ayah adalah merupakan warden di asrama itu,”

“Ramai anak didiknya memaklumkan arwah sering kejut mereka untuk membuat qiamulail bersama malah sering berkongsi makanan dengan para pelajarnya.”

Mengimbau segala kenangan sepanjang hayat Allahyarham Mohd Roslan, Nur Qurrataaini yang juga merupakan guru Bahasa Arab di Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu berkata kebaikan arwah sentiasa diperbualkan oleh rakan-rakan dan anak didiknya.

Allahyarham Mohd Roslan yang mesra disapa sebagai “Ustaz” oleh pelajarnya sering meminta anak-anak Pendidikan Khasnya untuk sentiasa mendoakan agar dirinya memperoleh peluang untuk dijemput pulang ke pangkuan Ilahi pada hari Jumaat yang penuh barakah.

“Ayah meninggal dua hari selepas hari jadi saya dan apa yang membuatkan kami berlapang dada dengan pemergian arwah adalah beliau meninggal dunia pada hari Jumaat dan dua hari sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, arwah dalam keadaan yang sentiasa berpeluh meskipun penghawa dingin sentiasa dipasang,”

“Kami yakin, ayah pergi dalam keadaan yang sangat baik dan kami sudah reda.”

Dalam pada itu, Nur Qurrataaini pada hari ini menerima manfaat Khairat Kematian bapanya sebanyak RM52,052.67 dan menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) atas penyerahan manfaat tersebut yang akan digunakan sepenuhnya bagi membangunkan sebuah pusat bimbingan dan pengajian Al-Quran sebagai merealisasikan hasrat ibunya sebagai saham akhirat buat arwah kelak.