YGMB Berhad
April 30, 2024

KOTA BHARU, 30 April 2024 – Seorang Juruteknik Komputer di PPD Tanah Merah, Mohd Fahme Che Musa yang tidak pernah mempunyai sejarah berkaitan sakit jantung meninggal dunia seminggu selepas mengadu sakit di bahagian dada pada Februari yang lalu.

Menurut waris Ahli Skim Emas ini yang juga merupakan isterinya, Siti Karimah Harun, 40, beliau dan enam orang anaknya yang berusia dalam lingkungan lima hingga 15 tahun itu kini kehilangan ketua keluarga dan tempat mereka bermanja.

“Jika selama ini kami bekerjasama dalam setiap urusan keluarga, kini segala perkara perlu diuruskan oleh saya sendiri memandangkan anak-anak saya masih kecil dan bersekolah.”

Siti Karimah memaklumkan arwah meminta untuk dibawa ke hospital kerana sakit dada yang dialaminya tidak berkurangan dan kemudiannya disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung kronik.

Tambahnya, perubahan sikap arwah yang membuatkan dirinya tidak sedap hati menjadi kenyataan dan bagaikan mimpi ngeri buat dirinya.

“Arwah adalah seorang yang sangat ceria namun tidak menyangka bahawa perubahan sikap yang tiba-tiba menjadi seorang pendiam dan tidak banyak bercakap itu merupakan petanda untuk beliau pergi meninggalkan saya serta enam orang anak kami.”

Dengan nada yang cukup sayu, beliau berkata anak bongsu mereka yang baru berusia lima tahun terlalu merindui arwah kerana sering dimanjakan oleh bapanya itu.

“Arwah suami saya adalah seorang bapa yang sangat penyayang dan anak bongsu kami sangat rapat dengannya sehinggakan anak sering bermimpikan arwah ayahnya kerana terlalu rindu. Arwah sempat meluangkan masa untuk bermain dengan anak bongsu kami meskipun dalam keadaan kesakitan pada malam sehari sebelum arwah meninggal dunia.”

Dalam pada itu, Siti Karimah pada hari ini menerima manfaat Khairat Kematian suaminya sebanyak RM52,010.88 dan menzahirkan penghargaan kepada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) atas penyerahan manfaat tersebut yang sekaligus dapat meringankan beban perbelanjaan harian anak-anaknya yang masih kecil dan masih bersekolah.