Hasrat untuk menunaikan ibadah haji bersama suami terkubur apabila Allahyarham Cikgu Iskandar Zulkarnain Ab Manaf, 54, disahkan meninggal dunia selepas rebah di rumah akibat jangkitan kuman dalam paru-paru (pneumonia) pada 22 Februari lalu.
Isterinya, Heleejalilah @ Norlaily Ibrahim berkata, dia dan suami sebelum ini telah menerima panggilan serta kuota daripada Tabung Haji untuk menunaikan rukun Islam kelima tersebut pada tahun pertama negara dilanda pandemik Covid-19.
“Sebenarnya pada tahun 2020 kami telah mendapat kuota haji ini namun ketika itu Malaysia buat pertama kalinya terpaksa membatalkan dan tidak menghantar jemaah akibat pandemik. Ketika itu, kami berdua telah membuat beberapa persiapan serta pasport juga sudah siap. Bagaimanapun, kami reda tiada rezeki buat kami ketika itu.
“Jika diikutkan, memang kami mahu buat rayuan bersama untuk pergi tahun ini. Namun, arwah terlebih dahulu pergi meninggalkan saya dan anak-anak. Sudah semestinya saya rasa sedikit ralat, namun ia tidak mematahkan semangat untuk saya berusaha membuat rayuan seorang diri meskipun dia sudah tiada.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur kerana sekali lagi rezeki berpihak kepada saya tahun ini apabila saya yang bakal ditemani rakan telah pun dijadualkan untuk berlepas pada hari esok,” ujarnya tenang.
Heleejalilah yang juga guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Putra Utama itu turut menzahirkan rasa syukur apabila mendapati arwah suaminya merupakan salah seorang Ahli Skim 18 (AS18) Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) yang melayakkan waris menerima manfaat sehingga kira-kira RM27,000.
“Saya tidak pernah tahu tentang keahlian arwah dengan YGMB, tetapi selepas pemergiannya baru saya semak dan tidak sangka banyak manfaat yang boleh diperoleh daripada YGMB. Sekurang-kurangnya, ia membantu saya menguruskan anak-anak kelak. Saya sendiri baru mendaftarkan diri hari ini,” katanya.
Terdahulu, Heleejalilah sebagai waris Cikgu Iskandar menerima wang Khairat Kematian AS18 YGMB bernilai RM27,005.46 yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.
Allahyarham Cikgu Iskandar yang merupakan Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulai Besar meninggalkan seorang isteri serta empat orang anak iaitu Zikri Afiq Iskandar Zulkarnain; 27, Azfar Azri; 24, Abdul Wafi; 18 dan Insyirah; 16.
Add New Comment