BACHOK, 12 Mei – Selepas dua tahun tidak dianjurkan akibat pandemik Covid-19, Festival Guru Malaysia (FGM) akan diadakan lagi pada tahun ini di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok, Kelantan bermula hari ini sehingga 16 Mei.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pelbagai aktiviti menarik telah dianjurkan pada FGM 2022 sempena Sambutan Hari Guru Kebangsaan, di mana Kelantan menjadi tuan rumah.
Wan Munadi berkata, YGMB yang diamanahkan sebagai penyokong FGM mempersembahkan pelbagai variasi dalam edisi ini bagi meraikan komuniti pendidikan yang telah berusaha mendidik anak-anak bangsa selama ini.
“Festival ini tidak dapat diadakan untuk edisi 2020 dan 2021 disebabkan oleh pandemik Covid-19. Jadi pada tahun ini semua persiapan dan persediaan telah dibuat untuk menganjurkan FGM 2022 secara besar-besaran yang akan berlangsung di UMK Bachok, Kelantan.
“Seperti yang sedia difahami oleh komuniti pendidikan, peranan utama YGMB adalah untuk mengekalkan nilai-nilai murni komuniti pendidikan serta membantu memartabatkan profesion perguruan negara.
“Jadi, atas peranan dan tanggungjawab yang besar ini, YGMB akan sentiasa menjadi rakan strategik kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk membantu dan menyediakan sokongan bersepadu bagi program-program yang dapat mengangkat martabat profesion perguruan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, YGMB menyediakan pelbagai faedah dan jaminan perlindungan untuk guru-guru yang sedang berkhidmat di seluruh pelosok negara dan kini mempunyai lebih daripada 20 faedah serta perlindungan melalui empat skim atau kategori keahlian.
Selain itu, katanya, matlamat FGM 2022 yang diadakan dalam bentuk karnival selama beberapa hari adalah untuk memeriahkan sambutan Hari Guru serta memastikan ia benar-benar diingati dengan program dan aktiviti yang mengetengahkan jasa dan pengorbanan guru.
“Festival ini terbuka kepada orang ramai untuk meraikan bersama dan memberi penghargaan serta kesyukuran kepada komuniti pendidikan. Jika pada edisi 2019 kami menerima lebih daripada 30,000 pengunjung, kali ini kami menjangkakan akan menerima sambutan yang lebih baik.
“Bagi komuniti pendidikan, pada festival ini, sebanyak 27 anugerah Hari Guru akan disampaikan pada Majlis Penghargaan FGM 2022 yang akan disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 15 Mei 2022.
“Anugerah ini terdiri daripada beberapa kategori seperti Anugerah Ikon, Anugerah Cikgu Juara Digital, Anugerah Guru Cemerlang, Anugerah Guru Inovatif dan Anugerah Pendidikan Khas yang disediakan oleh penaja seperti BSN, Nestlé, MDEC, Bank Islam dan YGMB sendiri,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 80 gerai pameran dan jualan makanan serta barangan disediakan untuk pengunjung dengan paparan terkini berbanding edisi pertama FGM 2019 yang diadakan di Pulau Pinang.
“Salah satu fokus utama FGM adalah untuk memberi sokongan kepada profesion perguruan dengan mendedahkan inovasi terkini dalam bidang pendidikan, terutamanya dengan kerjasama penaja dan rakan pempamer seperti Sharp, Apple Malaysia, Google Malaysia, Celcom dan sebagainya.
“Diharapkan konsep penganjuran FGM suatu hari nanti akan setanding dengan pameran terbesar di Malaysia seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA) dan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS),” katanya.
Pada masa yang sama, katanya, selain pameran dan jualan, pelbagai aktiviti menarik disediakan setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang seperti Forum Perdana, Forum Pendidikan, demonstrasi teknologi baharu dalam bidang pendidikan, kayuhan santai bersama Menteri Kanan Pendidikan, dikir barat, tarian dan nyanyian, persembahan Upin & Ipin, demonstrasi wau dan gasing, cabutan bertuah dan banyak lagi.
“Hadiah Cabutan Penghargaan FGM 2022 merupakan kali pertama YGMB menyediakan hadiah berupa kereta Perodua Myvi 1.5 AV yang ditaja oleh Perodua bagi menghargai sokongan dan kesetiaan ahli YGMB selama ini,” katanya.
Add New Comment