YGMB Berhad
April 15, 2023

KOTA BHARU: Seorang guru sebak selepas namanya dipanggil untuk menerima Khairat Kematian Skim Emas berjumlah RM52,000 milik arwah suami Cikgu Zainuddin Ismail daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB).

Rosmaini Latif hadir bersama anak lelakinya untuk menerima sumbangan tersebut daripada Pengerusi YGMB, Aminudin Adam yang turut disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Mohd Zamri Abdul Aziz dalam satu majlis di sebuah hotel di sini baru-baru ini.

Rosmaini berkata, arwah suaminya meninggal dunia pada Januari lalu dan telah mencarum Skim Emas itu sejak tahun lepas dengan bayaran RM35 sebulan.

“Suami saya merupakan Guru Besar SK Jerek Gua Musang dan manfaat sumbangan ini akan digunakan untuk membesarkan empat anak masing-masing berusia 27 hingga 18 tahun.

“Saya berterima kasih kepada YGMB atas sumbangan ini yang memberi manfaat besar kepada kami sekeluarga. Diharapkan lebih ramai guru akan menyertai skim ini,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, YGMB turut meraikan anak-anak yatim dengan berbuka puasa bersama mereka selain memberikan sedikit cenderamata tanda ingatan.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat memberitahu, sebanyak RM200,000 manfaat melibatkan bantuan Bencana Banjir, Penyakit Kritikal dan Khairat Kematian telah diagihkan kepada penerima di negeri ini dalam majlis tersebut.

Katanya, manfaat itu merupakan keprihatinan YGMB dalam menjaga kebajikan warga pendidik di negara ini.

“Alhamdulillah, setakat ini keahlian YGMB seluruh negara sudah mencecah 130,000 orang. Jadi saya berharap warga pendidik yang belum bersama YGMB dapat menyertai kami,” ujarnya.

– UTUSAN