GEORGE TOWN: Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyerahkan sumbangan sebanyak RM25,000 kepada seorang ahlinya di Pulau Pinang hari ini bagi meringankan beban kos rawatan penyakit kanser payudara yang dihidapinya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat, jumlah itu tidak termasuk sumbangan sebanyak RM13,000 lagi wakalah zakat yang turut diberikan kepada 10 guru dan 30 murid asnaf dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Nibong dan SMK Bukit Jambul di sini.
Ujar beliau, sumbangan menerusi dana wakalah zakat YGMB itu diperuntukkan khusus kepada warga pendidik dan pelajar-pelajar asnaf serta dari keluarga kurang berkemampuan.
Jelasnya, kesemua guru yang menerima sumbangan itu menghidap pelbagai jenis penyakit kritikal dan kini perlu menanggung kos rawatan hospital yang tinggi.
“Sehubungan itu, kami berharap sumbangan daripada YGMB kepada guru-guru di Pulau Pinang ini dapat meringankan beban yang ditanggung mereka khususnya dalam mendapatkan rawatan bagi penyakit kritikal yang dihidapi.
“Bagi kanak-kanak asnaf dan kurang bernasib baik pula, kami berharap sumbangan ini dapat menceriakan dan membantu dari segi kos perbelanjaan persekolahan mereka sekali gus menghadirkan kegembiraan serta semangat yang tinggi untuk meneruskan sesi persekolahan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, sumbangan daripada YGMB itu diserahkan kepada para penerima oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri dan majlis penyerahan ‘mock cheque’ Program Wacana Ilmu ‘Apresiasi Pendidikan’ peringkat Pulau Pinang di sini.
Yang turut hadir, Pengerusi YGMB, Aminudin Adam dan Pengarah Pendidikan negeri, Abdul Rashid Abdul Samad.
Dalam pada itu, Wan Munadi berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak RM50,000 dapat disumbangkan kepada warga pendidik dan pelajar asnaf di beberapa negeri menerusi peruntukan wakalah zakat YGMB sepanjang tahun ini.
Add New Comment