KUALA TERENGGANU: Seorang guru yang menghidap kanser lymphoma akan menggunakan sepenuhnya sumbangan manfaat penyakit kritikal daripada Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sebanyak RM25,014.84 untuk menampung kos rawatannya.
Mohamad Zuhairi Abdul Latif, 53, yang bertugas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar di sini berkata, beliau memerlukan perbelanjaan yang besar untuk berulang ke Subang Jaya Medical Centre, Selangor dalam tempoh dua hingga tiga minggu sekali bagi rawatan susulan dan kemoterapi.
Menurutnya, beliau menyertai Skim 18 YGMB pada tahun 2020 dan manfaat yang diterima kini amat besar serta di luar jangkaannya.
“Alhamdulillah saya lega dan menganggap seperti mimpi apabila permohonan manfaat penyakit kritikal saya selaku ahli YGMB diluluskan dan jumlah yang diterima juga besar.
“Ketika awal permohonan, saya ingatkan nilainya hanya RM5,000 sahaja,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian manfaat penyakit kritikal dan khairat kematian di sini hari ini.
Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Abdul Muie Ngah menyampaikan manfaat penyakit kritikal kepada Mohamad Zuhairi dan khairat kematian kepada Azizah Yusoff, balu Mohd. Nazri Mohd. Noor dari Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting, Kuala Nerus. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat.
Mohamad Zuhairi menambah, beliau mempunyai enam orang anak berusia antara 13 hingga 26 tahun, dengan empat daripadanya masih bersekolah, manakala isterinya tidak bekerja.
“Pada masa ini, saya mengambil cuti sakit kritikal selama dua tahun bagi urusan rawatan kanser yang dihidapi,” ujarnya.
Sementara itu, Azizah, 49, memberitahu suaminya yang menghidap strok telah meninggal dunia pada Januari lalu dan menerima khairat kematian YGMB sebanyak RM27,037.04.
Pada masa sama, katanya, beliau yang juga guru di SK Tok Jembal, Kuala Nerus turut menerima khairat kematian pasangan sebanyak RM2,000 apabila turut menjadi ahli YGMB.
“Saya akan menggunakan sumbangan khairat kematian itu untuk menampung perbelanjaan tiga anak saya berusia 12 hingga 20 tahun yang masih bersekolah,” katanya.
Add New Comment