KUALA TERENGGANU, 10 Julai 2023 – Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) menyantuni balu pesara guru, Allahyarham Mustaffa Abdul Ghani, 67 yang ditemui meninggal dunia dengan tubuh berselimut selepas lima hari.
Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, pihaknya terus membuat semakan status keahlian sebaik sahaja berita kematian pesara itu tular baru-baru ini bagi memastikan bantuan manfaat dapat disalurkan dengan segera kepada waris.
“Pihak YGMB sentiasa peka sekiranya berlaku sebarang kejadian terhadap guru-guru di seluruh negara. Kami akan terus membuat semakan dengan menghubungi pihak tertentu terutama waris bagi memastikan sama ada mereka merupakan ahli kami atau tidak.
“Hal ini amat penting agar waris tidak tercicir daripada memperolehi manfaat yang disediakan terutama ketika dalam keadaan memerlukan,” tegasnya ketika ditemui di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan seorang pesara guru ditemui meninggal dunia dalam keadaan berselimut di kediamannya seorang diri dan hanya ditemui selepas lima hari. Namun, kejadian itu tiada unsur jenayah dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Justeru itu, Wan Munadi turut mengingatkan seluruh warga pendidik khususnya guru-guru dan waris agar peka dengan diri serta ahli keluarga sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Sebenarnya, hal seperti ini bukan pertama kali berlaku. Jadi, saya menyeru agar semua warga pendidik yang telah mendaftar keahlian dengan kami untuk sentiasa menyemak dan mengambil tahu tentang keahlian masing-masing serta segera membuat tuntutan sekiranya perlu. Manfaat yang kami tawarkan sentiasa tersedia mengikut kelayakan kategori keahlian masing-masing,” ujarnya.
Dalam pada itu, balu kepada Allahyarham Mustaffa iaitu Che Noor Mohd, 54 meluahkan rasa sebak dan sayu apabila menerima wang khairat kematian Ahli Seumur Hidup (ASH) YGMB arwah suaminya di sini hari ini.
“Sebenarnya saya masih terkejut dengan pemergian arwah yang boleh dianggap secara tiba-tiba memandangkan keadaannya sebelum ini berada pada tahap yang baik. Berbeza dengan saya yang mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis dan buah pinggang.
“Walaubagaimanapun, saya reda dengan ketentuan Ilahi. Saya juga bersyukur dan berterima kasih kepada pihak YGMB yang sudi hadir ke rumah saya hari ini,” ujarnya sebak.
Add New Comment