YGMB Berhad
June 7, 2022

TUMPAT, 7 Jun 2022 – Menjadi Ahli Skim 18 (AS18) dalam Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) ternyata satu perkara yang amat disyukuri oleh Cikgu Helmi Yusoff, 59 apabila dirinya dan arwah isteri berulang kali dapat menikmati manfaat yang ditawarkan sehingga mencecah RM29,702.47 di sini hari ini.

Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Berangan 1 itu berkata, YGMB bukan sahaja menjaga kebajikannya sebagai guru, malah turut memberi manfaat kepada arwah isterinya yang merupakan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) merangkap Ketua Pembantu Tadbir di SK Seri Tumpat 1.

“Saya boleh katakan, kebanyakan agensi yang menawarkan perkhidmatan seperti ini biasanya memerlukan pelbagai tapisan kesihatan. Namun, ia ternyata berbeza dengan YGMB yang berorientasikan kebajikan apabila pihak mereka secara konsisten menawarkan khidmat buat seluruh warga pendidik tanpa saringan mahupun syarat yang membebankan ahli.

“Kami berdua sama-sama merupakan AS18 dan pernah menikmati pelbagai manfaat YGMB sebelum ini termasuk Insentif Pendidikan bagi anak yang melanjutkan pengajian ke IPT. Sebenarnya, bukan nilai wang yang kita mahukan sangat, tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu menguruskan ekonomi di saat-saat memerlukan,” katanya.

Bapa kepada tiga orang cahaya mata itu turut mengakui keprihatinan YGMB dalam menjaga kebajikan warga pendidik berjaya menarik minat warga sekolahnya sehingga 100% kakitangan sekolah mendaftarkan diri sebagai ahli AS18 YGMB.

“Produk yang YGMB tawarkan amat menarik minat semua staf saya. Malahan, kami turut pernah mendapat sumbangan khas dalam Mesyuarat Agung Tahunan tahun lepas sebagai sagu hati atas komitmen terhadap YGMB.

“Yuran berjumlah RM28 setiap bulan itu juga membolehkan kita menikmati sebanyak 18 manfaat seiring dengan nama skimnya iaitu AS18. Terbaharu, pihak YGMB turut menambah manfaat Rawatan Covid-19 yang mana arwah isteri saya juga pernah menikmatinya ketika diuji dengan jangkitan wabak tersebut,” ujarnya.

Terdahulu, Helmi sebagai waris menerima wang Elaun Hospital berserta Khairat Kematian isterinya, Allahyarhamah Khadijah Abdul Rahim, 52, yang masing-masing bernilai RM700 dan RM27,002.47. Beliau turut menerima tambahan manfaat Khairat Kematian pasangan sebanyak RM2,000 yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat, Mohd Suki Haron di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Amran Ghani dan Drs Ahmad Yani Muhammad serta Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.

Allahyarhamah Khadijah meninggal dunia pada 25 April 2022 akibat komplikasi buah pinggang. Beliau yang juga Jurulatih Utama Kewangan di sekolahnya meninggalkan suami serta tiga orang anak iaitu Nurhanis Helmi; 27, Muhammad Hairul Hakim; 25 dan Hanis Hairina; 22.