YGMB Berhad
June 23, 2022

KUALA NERUS, 23 Jun 2022 – Seorang guru Sekolah Kebangsaan (SK) Guntong, Setiu, Sukri Abdul Rahman, 46, berkata dia tidak menyangka yuran keahlian sebanyak RM28 sebulan yang dibayar akhirnya banyak membantu dirinya ketika diuji dengan kemalangan jalan raya pada 6 Mei lalu.

“Saya betul-betul lega apabila Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) tampil menghulurkan manfaat Kemalangan Jalan Raya dan Elaun Hospital sebagai Ahli Skim 18 (AS18). Saya boleh katakan keahlian YGMB ini diibaratkan seperti kita menabung kewangan dengan mereka dan ia boleh digunakan saat-saat memerlukan.

“Saya juga bersyukur apabila urusan dengan YGMB ternyata mudah sejak mula mendaftarkan diri sebagai ahli dan ia berbeza dengan kebanyakan skim lain yang selalunya memerlukan proses tuntutan yang agak rumit dan memakan masa,” ujar guru Pendidikan Islam itu di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Sukri berkata kemalangan yang berlaku pada 5 Syawal lalu benar-benar mengubah rutin hariannya apabila pergerakannya kini terbatas dan tidak dapat dilakukan seperti biasa.

“Saya dinasihatkan doktor untuk berehat dalam tempoh tiga bulan bagi memudahkan proses pemulihan. Pergelangan tangan saya patah dan terdapat beberapa luka di bahu serta lengan sehingga memerlukan pembedahan minor bagi memasukkan besi.

“Buat masa sekarang, semua urusan harian saya dilakukan oleh isteri tercinta. Dia yang mengurus makan minum serta memandu kereta ke mana sahaja saya perlu pergi. Mujur saya masih diberi cuti sakit sehingga Ogos ini. Sedih memang sedih, tetapi saya perlu terus kuat untuk kembali pulih,” tegasnya.

Terdahulu, bapa kepada empat orang anak itu menerima wang Manfaat Kemalangan Jalan Raya dan Elaun Hospital bernilai RM10,225.00 yang disampaikan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Nerus, Hamid Yahya.

Hadir sama ialah Ahli Lembaga Pemegang Amanah YGMB, Zainudin Muda dan Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Dato’ Wan Munadi Wan Mamat.